
ANAK perempuan kepada DJ dan pelawak terkenal, Din Beramboi iaitu Nil Aina Adibah malam tadi mengesahkan bahawa keadaan bapanya masih tidak sedarkan diri akibat virus denggi berdarah di Hospital Selayang (HS), Kuala Lumpur.
Awal malam tadi, terdapat berita mengatakan Din atau nama sebenar Mior Ahmad Fuad Mior Badri berada dalam keadaan kritikal sehingga pihak hospital terpaksa memanggil ahli keluarganya segera.
Aina memohon kepada semua orang yang mengenali bapanya supaya terus berdoa agar Din Beramboi pulih daripada sakit yang sedang dialaminya sekarang.
Dalam pada itu, memetik kenyataan sebuah akhbar, Pengarah HS, Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata, Din dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) kerana mengidap Dengue Shock Syndrome.
"Din mengalami pendarahan dalaman dengan komplikasi kegagalan beberapa organ utama dan keadaannya sangat tenat serta kritikal," katanya.
Sementara itu, semalam Nil Aina, 18, mengesahkan Din dijangkiti virus denggi berdarah dan menolak dakwaan kononnya dia diracun.
"Doktor memberitahu ayah disyaki denggi berdarah dan terdapat infection virus kencing tikus. Tapi doktor masih lagi membuat rawatan," jelasnya kepada pemberita mengulas perkembangan kesihatan ayahnya ketika ditemui di hospital pagi semalam.
Menurut Nil, Din dimasukkan ke hospital pada petang Isnin lalu selepas mengalami demam yang mempunyai tanda-tanda denggi.
"Minggu lepas saya dan ibu mengalami demam kemudian ayah pula, tetapi demam ayah teruk sehingga dia sendiri ke hospital swasta berhampiran. Namun selepas diperiksa, doktor hospital berkenaan menasihatkan ayah agar mendapat rawatan di sini.
"Selepas sampai di Hospital Selayang, dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk diperiksa. Buat masa ini doktor mengesyaki ayah demam denggi," ujar anak pertama kepada pelawak dan DJ ini.
Dalam pada itu, abang kepada Din, Shariffudin, memberitahu dia terkejut dengan laporan media mengatakan Din diracun dan memerlukan bekalan darah.
"Saya terkejut dengan berita yang pelbagai versi, saya yang masukkan Din ke sini pun tidak tahu yang dia terkena racun di Zoo. Itu mungkin khabar angin. Dia dimasukkan ke hospital kerana denggi berdarah.
"Saya juga terkejut semalam (kelmarin) ramai yang datang untuk menderma darah. Doktor hanya memberitahu jika mahu menderma pergi ke unit lain tapi baru saya tahu ada khabar angin yang mengatakan Din memerlukan darah. Itu semua tidak betul.
"Saya harap orang di luar sana tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi, Din sekarang beransur baik dan dia sedang melalui proses rawatan. Saya harap peminat mendoakan yang terbaik kepadanya," jelasnya semalam.
Selain itu, beberapa selebriti SuriaFM seperti Linda Onn, Halim Othman, Zizi dan rakan-rakan pelawak itu yang lain turut hadir menziarahinya.
